Menyedari kepentingan peranan wanita dalam tonggak kesejahteraan keluarga, masyarakat dan ekonomi, wanita Kampung Maludam kini bergerak aktif dalam setiap aktiviti yang berfaedah bagi menjana pendapatan sekaligus membantu meningkatkan ekonomi keluarga khasnya. Kalau dahulu, Persatuan Wanita Kampung Maludam hanya terlibat dalam kelas jahitan, dan membuat makanan ringan, tetapi kini mereka melangkah jauh kehadapan dengan mengeluarkan produk-produk tempatan walaupun secara kecil-kecilan. Mereka kian giat dalam aktiviti berpersatuan, bahkan 80% dalam kalangan wanita Kampung Maludam telah menyertai Amanah Ikhtiar Malaysia dan ini menunjukkan bahawa mereka menjadikan bisnes sebagai platform untuk menjana pendapatan.Mereka bersaing secara sihat dan saling membantu bagi memastikan mereka dapat meningkatkan produktiviti mereka. Wanita Kampung Maludam juga sangat aktif dengan melibatkan diri dalam setiap program yang diadakan dikampung ini. Antaranya, pertandingan poco-poco, senaman aerobik, zumba dan sebagainya. Mereka juga bergiat aktif dalam aktiviti dan program yang dianjurkan Kesatuan Rukun Tetangga di setiap kampung. Mereka merupakan tulang belakang untuk setiap program dan aktiviti yang dijalankan dikampung Maludam.

