PITIS
Pitis merupakan antara makanan tradisi yang terkenal di Kampung Maludam. Pitis tidak hanya dikenali di Kampung Maludam sahaja namun kampung-kampung sekitarnya juga sangat menyukai pitis dan selalu datang berkunjung ke Kampung Maludam untuk membelinya. Sejak dari dahulu lagi pitis ini telah wujud dan hanya boleh didapati di sesetengah kampung. Namun untuk sekitar kawasan ini, Kampung Maludam merupakan kampung yang terkenal dengan pitis. Pitis ini sejenis makanan yang dimakan bersama buah-buahan seperti buah jambu dan mangga. Pitis juga boleh digunakan sebagai bahan untuk membuat rojak buahan dan ia sangat sedap kerana dengan menggunakan pitis kita tidak perlu menambahkan perasa lain kerana pitis sudah cukup perasanya untuk menambah keenakkan rojak buahan tersebut.
Bahan-bahan:
1. Kepala udang
2. Gula apong
3. Garam
Cara-cara membuat:
1. Pertama sekali, cuci kepala udang bersih-bersih.
2. Kemudian rebus kepala udang sehingga masak.
3. Biarkan rebusan kepala udang semalaman kemudian keesokkan harinya rebusan kepala udang dikisar bersama air rebusan.
4. Setelah siap dikisar, tapiskan air rebusan tadi kemudian masukkan air rebusan kepala udang tadi yang telah ditapis ke dalam kuali untuk dimasak semula.
5. Kemudian masukkan sedikit demi sedikit gula apong dalam air rebusan yang sedang dimasak sehingga ia kelihatan sedikit pekat.
6. Setelah ianya kelihatan sedikit pekat, masukkan sedikit garam untuk menambahkan perasa bagi pitis ini dan gaulkan sehingga pekat (masak).
7. Pitis yang telah masak dan disejukkan seketika kemudian boleh disimpan ke dalam peti sejuk supaya pitis akan lebih tahan lama.
